Saturday 25 August 2012

Gambar Rumah Terbuka Aidilfitri Tun Dr Mahathir 2012

Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki ke rumah Tun Dr Mahathir untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri. Tahun ini saya bertolak lebih awal kerana tidak mahu menunggu terlalu lama seperti tahun lepas. Setibanya di perkarangan Palace of Golden Horses Resort, saya terus menaiki shuttle bus yang disediakan tanpa menunggu. Pada tahun  lepas, saya menunggu shuttle bus sahaja sudah memakan masa selama satu jam setengah. Apabila tiba di perkarangan rumah Tun di Lot 58, Jalan Kuda Emas, The Mines Resort, 43300 Seri Kembangan, saya terus beratur untuk bersalam dengan beliau. Memakan masa lebih kurang satu jam lebih juga, namun, cuaca yang masih belum terik tidak membuatkan saya terasa penat. Sambil berborak dengan kenalan-kenalan baru, saya melihat tetamu istimewa yang tiba di situ seperti Datuk DJ Dave, Menteri-menteri, dan kaum keluarga Tun. Tercari-cari juga kelibat Datuk Lee Chong Wei, mana tahu dia akan muncul seperti tahun lepas, namun kelibatnya tidak kelihatan. Mungkin kalau ada pun, dia akan datang pasa sesi kedua selepas waktu Zohor nanti. 

Gambar semasa di rumah terbuka Tun:

Untuk gambar-gambar lain, sila klik di sini.

Pelbagai juadah menarik yang disediakan seperti rendang daging tok malai, rendang ayam, satay ayam dan daging, rojak, pelbagai jenis kek, ketupat, lemang, nasi beriani, nasi himpit, mee goreng, koew teow goreng, dan banyak lagi. Saya tidak menjamah terlalu banyak sebaliknya hanya merasa satu ketul bagi setiap hidangan. Makan sambil berdiri kerana tidak cukup kerusi untuk para tetamu. Ada juga yang duduk bersila di lantai biarpun tempat orang lalu lalang untuk mengambil makanan. Boleh dilihat pelbagai kerenah manusia di tempat-tempat seperti itu. Menarik untuk dijadikan memori dalam hidup. Apa yang lebih membanggakan, bukan sahaja Melayu, Cina, India, Punjabi dan masyarakat Malaysia yang memenuhi segenap ruang kanopi yang disediakan, malah, ramai tetamu daripada luar juga tidak ketinggalan untuk menyambut hari raya bersama Tun apatah lagi menjamu juadah percuma.

Saya membawa salinan gambar bersama Tun tahun lepas untuk ditandatangani oleh kedua-dua tokoh ini. Tahun depan, sekiranya ada peluang lagi, saya akan kembali ke rumah terbuka mereka.

No comments:

Post a Comment