Friday 1 March 2013

Matahariku Terbenam & Terbit Di Pulau Mabul

Ada dua sebab penting kenapa aku akan kembali ke Pulau Mabul suatu hari nanti. Pertama adalah kerana aku sangat sukakan pemandangan matahari terbenam di sana. Saat-saat menyaksikan matahari terbenam di sana penuh dengan keasyikan. Sungguh indah melihat objek bulat itu perlahan-lahan meninggalkan jasad bumi di kaki lautan yang tidak berpenghujung. Seolah-olah dekat saja matahari tu sebenarnya. Warna jingga keemasan di langit yang terbuka luas lama kelamaan menjadi kemerahan yang kemudiannya hilang dalam sekelip mata. Dan timbul pula sang rembulan yang memancarkan cahaya jernih menerangi malam yang gelap gelita. Indah kan? 

Kedua adalah kerana aku sukakan keindahan kehidupan di dasar laut dan daratan di Pulau Mabul. Kepelbagaian hidupan dasar laut sememangnya terkenal di merata-rata dunia. Aku rasa terlalu banyak dokumentari yang telah dirakamkan di sini. Tidak ketinggalan juga masyarakat bajau laut, palau atau lebih dikenali sebagai sea gypsy di Pulau Mabul ni. Mereka sangat terkenal dengan keunikan budaya dan gaya hidup yang diamalkan di sini. Aku tak pasti adakah mereka ini dahulunya datang dari Filipina atau tidak, namun mereka bertutur dalam loghat Sulu kalau tak salah aku lah. :P

Melihat kehidupan mereka dengan mata kasar menimbulkan rasa rendah diri dalam hati aku. Terdetik juga bagaimana kiranya aku berada di tempat mereka yang hidup dalam serba kesederhanaan dan begitu gembira sekali. Aku percaya, bukan aku sahaja, malah ramai di luar sana yang belum tentu dapat hidup seperti mereka. Kita yang gaji beribu pun masih merungut itu tak cukup, ini tak cukup, itu tak kena, ini tak kena, cuba kita lihat masyarakat seperti mereka. Bahagia dan tenang tanpa perlu memikirkan masalah-masalah yang tidak berpenghujung. Sekali sekala kita harus datang melawat tempat sebegini untuk munasabah diri. Belajar untuk menjadi lebih bersyukur dengan apa sahaja kurniaan daripada Tuhan. 

Kehidupan yang serba serbi kekurangan, berbumbungkan rumah papan, mendapat bekalan air perigi yang masih terasa payau dan masin, tidak mempunyai kenderaan apa yang ada cuma boat buatan sendiri untuk ke Pekan Semporna yang mengambil masa lebih sejam, tidak bersekolah kerana tidak mampu membiayai yuran persekolahan, sekolah pun hanya ada sekolah rendah, berjalan tanpa menggunakan kasut dan macam-macam lagi...

Aku tak tahu nak cakap apa tentang mereka ini, apa yang pasti, aku sangat terharu melihat mereka. Jika diberi peluang, aku mahu tinggal di sini selama beberapa bulan dan mahu membantu apa yang patut. CSR la kononnya kan. Tapi serius. Aku sangat berminat dengan aktiviti seperti ini. Aku harap lebih ramai orang akan melawat Mabul kerana banyak perkara yang boleh kita peroleh di sini bukan sahaja scuba diving, snorkelling, makan angin atau berbulan madu, malah, jauh lebih dari sebuah keinsafan dan kesyukuran.
Boleh klik link ini untuk sedikit pengetahuan: Mabul Island

Aku ada kongsikan beberapa keping gambar pemandangan matahari terbit dan terbenam yang sempat aku rakamkan semasa kunjungan aku di sana. Gambar-gambar ini tidak diedit terlebih-lebih sebab aku mahu mengekalkan keasliannya. (lagipun aku bukannya pandai).

Sunset pada hari kedua, 02 Feb 2013

Sunset pada 01 Feb 2013: Hari pertama aku menginap di Mabul

Sunset Ketiga yang amatlah cantik sekali. Diambil pada 03 Feb 2013

03 Feb 2013 juga
Saat paling best: Sunrise ketika hari ulangtahun kelahiran aku. 04 Feb 2013. Jam 06.20 am ni. Sebenarnya langit dah teramat terang masa ni, cuma posisi kamera yang membuatkan gambar ni gelap.

Sunrise pada 04 Feb 2013 juga. I love this moment