Saturday, 15 September 2012

Stay Tuned For Something BIG & FREE!!

Air Asia now offering something BIG and FREE!! So, don't let this opportunity go. Grab it as fast as you can starting at 00:00 (GMT+8), Malaysia time, on 18th September 2012. Spend your time at majestic-historic place like Bangkok and Vientiane, surf up at Aussie, relaxing in Bali, climb up Himalaya. Plan your trip now for 2013. Check your calendar, ask your buddy, pick the date, and FLY AWAY! Don't forget, it's coming! Visit www.airasia.com


Friday, 31 August 2012

Sambutan Hari Merdeka Ke-55 di Dataran Merdeka

Jam 5.00 saya bangun dari tidur dan terus bersiap-siap untuk menuju ke Stesen Komuter Shah Alam di Seksyen 9. Tiba di komuter, saya terus membeli tiket dan menunggu Mr Kumar, lelaki India yang umurnya sudah boleh dipanggil bapa. Kumar seorang lelaki tua yang sangat aktif dan gemar melancong. Dia bekerja di satu tempat dengan saya dan kebetulan dia juga mahu melihat perarakan kemerdekaan di Dataran Merdeka. Kami menaiki tren dari Stesen Shah Alam terus ke Stesen Bersejarah Kuala Lumpur, iaitu stesen yang pertama di Malaya ketika dahulu. Sepanjang perjalanan yang memakan masa hampir 40 minit itu, kami berborak mengenai tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur. 

Betapa indahnya terbit sang Matahari

Setibanya di Stesen Kuala Lumpur pada jam 7.30 pagi, kami berjalan kaki ke Dataran Merdeka yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan. Memang dekat sahaja. Sepanjang perjalanan, para peserta perarakan sudah memenuhi jalan dan bersedia untuk berarak. Suasana cukup meriah dengan gelak ketawa para peserta yang mengambil bahagian. Tambahan pula, dengan pakaian yang berwarna-warni bertemakan warna Jalur Gemilang negara kita, keadaan menjadi sangat mengujakan. Ini adalah kali pertama saya menyaksikan perarakan di Dataran Merdeka. Sebelum ini saya cuma mengunjungi sambutan di Stadium Putra, Bukit Jalil dan Dataran Putrajaya. 

 Jam 8.00 pagi majlis perarakan telah bermula. Pelbagai pancaragam dari sekolah-sekolah, perbarisan TUDM,TLDM, ATM, Polis, NGO, Badan-badan berkanun, syarikat-syarikat swasta, pasukan belia, kementerian, kebudayaan, dan banyak lagi. Di sini saya kepilkan beberapa gambar yang saya ambil sepanjang perarakan. Detik-detik manis ini harus diabadikan oleh semua orang sebagai menghargai perjuangan nenek moyang dahulu demi sebuah kemerdekaan yang dikecapi sehingga kini. Perbezaan politik bukan alasan untuk tidak meraikannya dan perkara itu seharusnya ditolak tepi kerana kemerdekaan adalah untuk semua tidak kira anda semua Barisan Nasional, Parti Keadilan, PAS, DAP atau apa sahaja parti politik. 

Kemeriahan yang terasa tidak dapat digambarkan dengan hanya melihat di televisyen kerana suasananya berbeza. Pengalaman berharga ini cukup memberi makna kepada saya. Semangat kemerdekaan jelas terselah di mata-mata jernih ribuan pengujung yang memenuhi dataran bersejarah ini. 

Namun begitu, saya sediki terkilan dengan sikap minoriti yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia yang bagi saya agak kurang ajar terhadap pelancong asing. Ketika kami semua sedang menyaksikan perarakan, seorang "Mat Saleh" duduk di depan ditegur dengan cara yang kasar oleh beberapa gadis. Susuk tubuh yang tinggi membuatkan dia menghalang mereka daripada menyaksikan perarakan. Bagi saya, sikap seperti itu tidak bagus dan membuatkan imej negara kita jatuh, tidak seperti sikap mesra pelancong dan sopan santun yang diwar-warkan di media. Sekiranya pelancong tersebut betul-betul mengganggu penglihatan mereka, sepatutnya ditegur dengan cara yang baik. Kita sepatutnya menjadi duta kecil bagi negara kita apatah lagi di sebuah majlis yang besar seperti ini. Dan ini menunjukkan bahawa tidak mustahillah Malaysia adalah negara kedua yang rude di dunia (kajian yang dilakukan oleh sebuah media luar negara). 

P/S: Harap kita semua boleh menjadi lebih baik dari semalam.

Perbarisan pasukan Angkatan Tentera Darat Malaysia
Pasuka Belia yang menjadi tunjang masa hadapan Malaysia. Mereka memakai pakaian seragam moden dan tradisional yang mencerminkan budaya sekarang.
Koleksi kereta-kereta lama



Menghayati erti kemerdekaan

Ini bukan keranda ya. Tapi ini adalah peti besi yang menunjukkan tempat simpanan wang iaitu semua bank yang ada di Malaysia

Kereta apa ni cuba teka?

Tourist

Perarakan berkuda. Sangat menarik!

Mr Kumar and me

Pasukan Rejiman Askar Melayu Diraja: 2 Batolian

Bangunan Sultan Abdul Samad

Semangat kemerdekaan

Ambassador dari sebuah negara, tapi kurang pasti negara apa.

Independent youth

Paparazi: Mulut laser Maut (MLM) Brother Bob

Ambassador of Nigeria: Do Ajibeyo

Malaysian Minister of Information, Communications and Culture: Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim

Ambassador of Netherland
Ambassador of Nepal: Dr. Rishi Raj Adhikari

Saturday, 25 August 2012

Gambar Rumah Terbuka Aidilfitri Tun Dr Mahathir 2012

Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki ke rumah Tun Dr Mahathir untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri. Tahun ini saya bertolak lebih awal kerana tidak mahu menunggu terlalu lama seperti tahun lepas. Setibanya di perkarangan Palace of Golden Horses Resort, saya terus menaiki shuttle bus yang disediakan tanpa menunggu. Pada tahun  lepas, saya menunggu shuttle bus sahaja sudah memakan masa selama satu jam setengah. Apabila tiba di perkarangan rumah Tun di Lot 58, Jalan Kuda Emas, The Mines Resort, 43300 Seri Kembangan, saya terus beratur untuk bersalam dengan beliau. Memakan masa lebih kurang satu jam lebih juga, namun, cuaca yang masih belum terik tidak membuatkan saya terasa penat. Sambil berborak dengan kenalan-kenalan baru, saya melihat tetamu istimewa yang tiba di situ seperti Datuk DJ Dave, Menteri-menteri, dan kaum keluarga Tun. Tercari-cari juga kelibat Datuk Lee Chong Wei, mana tahu dia akan muncul seperti tahun lepas, namun kelibatnya tidak kelihatan. Mungkin kalau ada pun, dia akan datang pasa sesi kedua selepas waktu Zohor nanti. 

Gambar semasa di rumah terbuka Tun:

Untuk gambar-gambar lain, sila klik di sini.

Pelbagai juadah menarik yang disediakan seperti rendang daging tok malai, rendang ayam, satay ayam dan daging, rojak, pelbagai jenis kek, ketupat, lemang, nasi beriani, nasi himpit, mee goreng, koew teow goreng, dan banyak lagi. Saya tidak menjamah terlalu banyak sebaliknya hanya merasa satu ketul bagi setiap hidangan. Makan sambil berdiri kerana tidak cukup kerusi untuk para tetamu. Ada juga yang duduk bersila di lantai biarpun tempat orang lalu lalang untuk mengambil makanan. Boleh dilihat pelbagai kerenah manusia di tempat-tempat seperti itu. Menarik untuk dijadikan memori dalam hidup. Apa yang lebih membanggakan, bukan sahaja Melayu, Cina, India, Punjabi dan masyarakat Malaysia yang memenuhi segenap ruang kanopi yang disediakan, malah, ramai tetamu daripada luar juga tidak ketinggalan untuk menyambut hari raya bersama Tun apatah lagi menjamu juadah percuma.

Saya membawa salinan gambar bersama Tun tahun lepas untuk ditandatangani oleh kedua-dua tokoh ini. Tahun depan, sekiranya ada peluang lagi, saya akan kembali ke rumah terbuka mereka.

Friday, 24 August 2012

Jemputan Ke Rumah Terbuka Aidilfitri 2012 Tun Dr Mahathir Mohamad & Tun Dr Siti Hasmah Hj Mohd Ali

Petikan daripada Blog Chedet chedet.cc/blog/
 
" Saya dan isteri saya ingin menjemput ke rumah terbuka kami sempena Hari Raya Aidilfitri esok, Sabtu Ogos 25, 2012, di kediaman kami di Lot 58, Jalan Kuda Emas, The Mines Resort, 43300 Seri Kembangan, Selangor di antara jam 10 pagi hingga 1.00 tgh dan di antara jam 3.00 petang hingga 5.00 petang."

Jom kita beramai-ramai memeriahkan majlis rumah terbuka beliau.Mungkin boleh berjumpa dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Lee Chong Wei sekali lagi seperti tahun lepas.

Thursday, 8 September 2011

Open House Former Prime Minister Malaysia 2011

On September 4th ago I had the opportunity to attend the open house of former Prime Minister of Malaysia, the fourth in Seri Kembangan. I was so excited to meet Tun Dr Mahathir and his wife, Tun Dr Siti Hasmah. Tun Dr Mahathir is the pride of all Malaysians as he has served the nation, race and religion. Without him, Malaysia would not be recognized in the world as it is now developed and become a model for many countries.
When I arrived at the compound of the Palace of Golden Horses Hotel, we were all required to queue to wait for the shuttle bus that will pick us up to the house. When I arrived at Tun's house, I went to take food and eat while standing among thousands of people. Crowded and hot conditions did not  cancel my desire to go to the very long line to shake hands with Tun and take photographs with him because this is my very first time meet him face to face. 
Tun Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah and me.

Datuk Lee Chong Wei


I lined up nearly two hours just to shake hand with him. I am very sore feet because I wear high heels yet I feel very happy and excited to meet Tun and take photographs together.I love you Tun Dr Mahathir. May God bless you always. 

Tuesday, 30 August 2011

Pendakian Solo Gunung Kinabalu 2010

 A throwback
Sudah lama berimpian untuk menakluki gunung tertinggi di Asia Tenggara kini telah menjadi sebuah kenyataan. Penantian selama beberapa tahun akhirnya bertukar realiti. Perasaan puas dan seronok yang tidak terhingga sukar diceritakan, namun sesiapa sahaja yang mejejakkan kaki di Puncak Kinabalu tahu apakah perasaan yang dirasakan. Apatah lagi setelah melaui saat-saat sukar mengumpul wang belanja dan bayaran pendakian untuk merealisasikan impian ini.
Seperti yang kita sedia maklum, Gunung Kinabalu adalah gunung yang prominen yang paling tinggi di Asia Tenggara yang mempunyai ketinggian 4095.2 meter dari paras laut. Gunung ini terletak di Kinabalu Park, iaitu sebuah taman tropika yang mempunyai khazanah alam yang sukar ditemui di tempat lain. Masih terpelihara flora dan faunanya, keindahan di situ sungguh tidak ternilai. Dengan kesejukan udaranya, ditambah dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan, pasti akan meninggalkan kenangan indah buat pengunjung yang datang.
Pada awal rancangan serius saya untuk mendaki gunung setahun yang lalu, ramai juga rakan yang berminat untuk mengikut saya. Namun, kebanyakannya mempunyai masalah kewangan dan mereka diam begitu sahaja. Saya juga mempunyai masalah yang sama, namun semangat saya cukup tinggi untuk menjejakkan kaki di puncak Kinabalu. Saya melakukan kerja sambilan kerana saya masih lagi menuntut ilmu. Kerana semangat berkobar-kobar, apabila mendapat gaji bulan September 2009, saya menempah tiket penerbangan pergi balik ke Sabah. Saya menempah pula pakej mendaki di Kinabalu Park yang diuruskan sepenuhnya oleh Sutera Santuary Lodges pada Januari 2010. Tempahan perlu dilakukan seawal enam bulan sebelum pendakian sekiranya kita mahu mendaki. Ini adalah kerana jumlah pendaki adalah terhad. Bayaran boleh dilakukan 50% seminggu selepas tempahan dan 50% lagi dua bulan sebelum mendaki.
12 Jun 2010
Oleh kerana saya menetap di Semporna, Sabah di kediaman sahabat saya, maka saya terpaksa mengambil bas dari Bandar Semporna ke Kinabalu Park. Jam seawal 730 pagi saya sudah bertolak dan tiba di Kinabalu Park pada pukul 330 petang. Perjalanan itu sungguh memenatkan. Kepala terasa pening kerana jalan raya yang berliku-liku seperti mahu ke Cameron Highland. Khidmat bas Dyana sungguh memuaskan hati. Air mineral, ubat mabuk, plastic, dan makanan ringan juga disediakan di dalam bas.



Tiba di Kinabalu Park, saya tercengang-cengang sendiri kerana pertama kali sampai di sini dan saya tidak mempunyai kawan dan juru pandu. Namun, taktala melihat bangunan di Kinabalu Park yang cantik itu, hati saya terasa berdebar-debar untuk melangkah. Pendakian hampir tiba! Itulah debarannya. Setelah saya check-in saya masuk ke bilik yang dikongsi dengan pendaki yang lain.

Saya amat bertuah kerana teman sebilik saya masih belum menempah jurupandu untuk mendaki. Memandangkan saya berseorangan, saya mengajak mereka berdua untuk berkongsi guide kerana lebih murah. Saya lebih bertuah lagi apabila rakan saya adalah orang tempatan dan mereka mempunyai kenderaan sendiri. Oleh itu, saya menumpang mereka dari hostel ke kaki gunung tanpa menggunakan khidmat pengangkutan Kinabalu Park.

Suhu pada waktu malam di Kinabalu Park sudah memberikan gambaran suhu sebenar di puncak nanti. Perasaan tidak sabar menguasai diri untuk mendaki pada keesokan harinya. Apabila bangun pagi, saya, Sherly dan Alex (teman sebilik) menjamu selera di Balsam Café. Ketika ini, kelihatan puncak gunung Kinabalu yang tersergam indah. Kami masing-masing tidak sabar untuk meneroka pendakian yang telah dirancang.
Pemandangan pada pukul 630 pagi di kaki gunung

13 Jun 2010

Setelah mendapatkan guide, kami bertolak ke Timpohon, iaitu tempat permulaan pendakian kami. Di Gunung Kinabalu, terdapat dua starting point yang berlainan, Timpohon dan Mesilau. Menurut bacaan di internet dan mendengar sendiri daripada mulut guide kami, Mesilau adalah lebih mencabar berbanding Timpohon. Malah pemandangannya lebih cantik dan jarak ke puncak adalah lebih 1km dari Timpohon. Namun bagi saya, mana-mana trail sekalipun, tetap mempunyai cabaran masing-masing. Trail Timpohon lebih mudah kerana sudah lebih 30 tahun ia dibuka untuk pendakian umum berbanding Mesilau yang hanya beberapa tahun dibuka.

Bergambar sebelum mendaki

Lebih kurang pukul 830 pagi kami memulakan pendakian kami. Sambil berborak antara kami, saya mengambil gambar alam sekeliling. Kaki sedikit penat. Maklum sajalah kurang latihan dan otot baru hendak panas dan adapt dengan pergerakan badan yang melawan gravity bumi. Kami berhenti rehat di pondok yang disediakan. Sepanjang perjalanan kami, sebanyak tujuh pondok yang akan dilalui sebelum kami tiba di tempat penginapan kami iaitu Laban Rata. Di setiap pondok, terdapat tandas, tempat rehat dan air. Kita boleh menggunakan air itu untuk minum dan berehat sebentar untuk mendapatkan tenaga semula.
Pondok pertama – Kandis

Kawasan Gunung Kinabalu sememangnya amat terpelihara dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan asli dan binatang yang begitu mesra dengan kehadiran manusia. Di setiap pondok yang disediakan, anda pasti terhibur dengan gelagat tupai liar yang datang untuk memakan makanan kita. Perasaan penat hilang apabila melihat tupai-tupai itu seolah-olah bermain tarik tali dengan kita.


Perjalanan semakin mencabar apabila pendakian semakin lama. Suhu semakin sejuk dan kaki mulai kekurangan tenaga. Namun, kami tidak berputus asa kerana ingin cepat sampai di puncak. Saya mengeluarkan makanan ringan yang dibawa untuk mengisi tenaga dan mengelak daripada terlalu memikirkan kepenatan yang dirasai. Teman saya mengalami kepenatan dan kami mengurangkan kelajuan pendakian kami.

Flora yang terdapat di Kinabalu

Bergambar dengan dua adik beradik yang baru turun dari puncak

Kami tiba di Laban Rata agak lewat. Lantas, kami pergi ke restoran untuk menjamu selera. Saya sungguh berselera dan makan dengan banyak sekali. Ramai pendaki yang sedang menjamu selera di situ. Suasana agak kecoh mungkin kerana masing-masing sedang bercerita tentang pengalaman masing-masing di sepanjang lebih separuh perjalanan ke puncak Kinabalu. Ramai juga pendaki lain bertegur sapa dengan saya bertanyakan adakah saya ok. Setelah kekenyangan, saya naik ke bilik, dan berehat. Jam telah menunjukkan pukul 630 petang, dan badan saya terasa sakit lebih-lebih lagi di bahagian paha. Sempat lagi saya menghubungi kawan-kawan saya di Semenanjung untuk memberitahu keadaan saya.

Pemandangan dari Restoren Laban Rata
14 Jun 2010
Saya bangun dari tidur pada jam 200 pagi kemudian saya supper di restoren. Setelah melakukan regangan badan, kami memulakan sisa pendakian untuk ke puncak. Suhu amat sejuk ketika itu. Setengah jam pendakian, saya mengalami sedikit kesesakan nafas. Badan berpeluh biarpun keadaan amat sejuk kerana saya memakai tiga lapis baju dan satu baju panas tebal. Kaki sangat lenguh dan saya seakan-akan tidak terdaya lagi untuk mendaki. Saya mula mengawal nafas saya dan berjalan perlahan-lahan serta tidak banyak berhenti di sepanjang perjalanan. Dengan itu, saya sudah tidak merasa penat lagi dan kaki semakin kuat. Apabila sudah kelihatan puncak gunung, perasaan saya berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki di sana.

Hampir di puncak

Saya tiba di puncak kira-kira jam 550 pagi. Saya amat seronok kerana penantian saya selama ini sudah tercapai. Suhu semakin sejuk. Akan tetapi, kegirangan mengatasi segalanya. Pendaki-pendaki lain sedang bergambar di papan tanda puncak. Saya menunggu giliran saya. Puncak Kinabalu yang agak sempit tidak boleh memuatkan ramai pendaki untuk bergambar kerana ia amat berbahaya. Terdapat dawai besi yang memagari puncak untuk mengelakkan pendaki terjatuh ke gaung yang amat tinggi dan curam.

Angin amat kuat di atas sana. Dengan memakai windbreaker, ia dapat mengurangkan pergeseran angin yang boleh membuatkan kita bertambah sejuk. Semasa saya membuka sarung tangan untuk menukar bateri kamera, tangan saya seperti beku kerana suhu amat sejuk. Pemandangan dari puncak amat cantik. Awan-awan yang berkepul meliputi bukit bukau memukau pemandangan. Kelihatan batu-batu pergunungan yang kukuh menjadi asas keteguhan puncak gunung. Dengan tiupan angin dingin kami sama-sama melihat keagungan ciptaan Tuhan apabila matahari terbit dari jauh. Masing-masing terpaku dengan keindahan tersebut dan tidak mahu melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan dalam album masing-masing. Jam menunjukkan lebih kurang jam 630 pagi dan langit sudah menjadi cerah.

Puncak Kinabalu


Setelah penat bergambar, kami memulakan langkah turun dari puncak. Kami tidak disarankan berada terlalu lama di atas puncak kerana kemungkinan untuk mengalami hypoterma yang boleh membuatkan kesejukan yang melampau. Pemandangan yang indah dapat dilihat dengan jelas berbanding semasa mendaki ke puncak yang amat gelap.


Puncak selatan






Setelah sarapan pagi di Laban Rata, kami mengemas untuk turun ke kaki gunung. Kaki terasa berat untuk kembali ke kaki gunung. Perasaan belum puas untuk mendaki lagi. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa teman yang dikenali di situ dan mula berjalan turun ke bawah. Ada juga pendaki yang berlari untuk lebih cepat tetapi ia tidak digalakkan kerana boleh membuatkan lutut dan tumit sakit. Kepada pendaki yang mempunyai kekuatan yang lebih, mereka lebih gemar untuk berlari. Sempat lagi saya mengambil gambar-gambar pemandangan yang terdapat di sekitar jalan. 





Saya mengambil sijil pendakian yang berwarna dan membayar RM10. Akhirnya, saya dapat merealisasikan impian saya untuk mendaki Gunung Kinabalu. Pendakian ini sungguh bermakna buat saya kerana banyak kenangan pahit manis sebelum, semasa dan selepas saya berusaha untuk berada di puncak Kinabalu. Barangkali, ramai yang memandang remeh dan menganggap adalah mudah untuk mendaki Kinabalu, tetapi, percayalah, setiap pendakian, pengalaman dan cabarannya amat berbeza. Kita tidak boleh berlagak pandai kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku semasa pendakian. Bayangkan seorang lelaki yang telah banyak mendaki juga tidak boleh sampai ke puncak, renungkan..Dan saya pasti, saya akan kembali ke sini lagi untuk pendakian yang kedua melalui Mesilau suatu hari nanti. 

-TAMAT-
Tips mendaki
·         Jalani latihan yang cukup seperti jogging supaya otot tidak terkejut dengan pendakian yang memerlukan banyak tenaga. Belajar untuk bernafas dengan perlahan dan kawal pernafasan.
·         Bawa makanan ringan seperti raisin, coklat, gula-gula, energy bar, dan kekacang
·         Bawa pakaian tebal, stoking, snow cap, seluar yang menyerap peluh dan tahan sejuk, sarung tangan cotton, beg mendaki yang selesa
·         Tempah pendakian enam bulan sebelum mendaki
·         Bawa wang yang lebih untuk sebarang keperluan
·         Tanam semangat yang tinggi dan tidak mudah mengalah.
·         Rancang perjalanan dengan teliti.