Friday, 17 January 2014

Myanmar Day 02: Inle Lake, Nyaung Shwe, Shan State ~ Sebuah Tasik Yang Cukup Memukau

26 Dec 2013
Tibanya aku di Nyaung Shwe jam 07.00 pagi setelah 12 jam perjalanan, menggamit seribu satu pengalaman manis. Impian aku untuk menjejakkan kaki ke Inle Lake akan tercapai beberapa jam sahaja lagi. Aku rasa amat gembira dan ketibaan bas kami disambut dengan pelbagai suara pemandu teksi yang ramai  menunggu di depan pintu bas untuk memberikan perkhidmatan. Seperti yang John ingatkan, aku mengambil teksi dengan harga 1000ks ke sebuah hotel yang terletak di pinggir jeti lebih kurang 3 minit perjalanan menaiki teksi tuk-tuk.

Ketibaan tanpa sebarang tempahan diterima dengan hati terbuka oleh penyambut tetamu yang menyambut aku di pagar hotel. Sambutan sebegitu rupa menghapus was-was aku untuk tidak tinggal di situ. Senyuman penyambut tetamu Sin Yaw Guesthouse membuatkan aku lupa bahawa suhu pada ketika itu adalah di bawah 10 darjah celcius. Teramatlah sejuk. Berasap-asap mulut kalau bercakap. Aku check in dan penyambut tetamu membantu aku untuk mengangkat beg dan menghantar aku ke bilik aku.

Sin Yaw Guesthouse
Hotel Sin Yaw merupakan sebuah hotel yang diusahakan oleh sebuah keluarga. Tempat penyambut tetamu dibuat daripada buluh dan atap rumbia. Di atasnya terdapat beberapa bilik tetamu yang khas. Terletak di kawasan pinggir pekan di sebuah kampung cukup mendamaikan. Melihat rumah-rumah yang diperbuat daripada papan dan buluh, sejenak memandang ke arah anak-anak kecil yang berjalan, mengingatkan aku pada kampung halaman aku. Suasana tenang dan sejuk!

Selepas berborak dengan penyambut tetamu dan 'merancang' perjalanan aku, aku berjalan kaki ke jeti, di mana ia menjadi pusat pemunggahan tanaman dan sayuran seperti tomato dan pengangkutan ke Inle Lake. Aku disambut hampir dengan semua boat driver yang sedang mendapatkan pelanggan. Jauh nun di hujung jeti terdapat seorang lelaki Korea yang mahu mencari kawan untuk ke Inle Lake. Dia kesuntukan masa kerana baru tiba pagi tadi dan akan berangkat semula ke Yangon malam itu juga. Aku yang sedikit kesian, dengan segera berkongsi bot untuk melawat Inle Lake. Jangan risau, sini memang sentiasa ada bot ke sana.
Penduduk tempatan mengangkat tomato yang dibawa dari Inle

Penduduk memunggah tomato yang dipindahkan dari tasik untuk dijual kepada peniaga
Tomato segar berwarna hijau. Tomato ini rangup sebenarnya. Agak berbeza dengan tomato yang kita selalu makan. Makanan popular di sini, tomato salah dan avokado salad adalah makanan wajib cuba
Jeti Nyaung Shwe yang menyediakan pengangkutan ke Inle Lake
Harga 1 bot : 15000 kyats @ 15USD
Harga kongsi : 7500kyats seorang (tapi aku cuma bayar 7000kyats sahaja)

Air yang tenang
Apa yang menariknya di Inle Lake ini adalah kawasannya yang dikelilingi dengan gunung ganang dan pada musim sejuk, suhu nya boleh mencecah sehingga 1-2 darjah celcius. Tidak hairanlah kenapa suhu di sini sangat rendah dek kawasan Shan State terletak di kedudukan yang agak tinggi dari paras laut. Gelagat nelayan yang mengayuh sampan dengan sebelah kaki sahaja merupaka tarikan utama di sini selain tasik ini menawarkan pelbagai tarikan lain. Tasik air tawar ini sudah pasti menjanjikan sesuatu yang istimewa bagi penggemar budaya dan alam semula jadi. Air tasik jernih dan sejuk.
Nelayan mencari rezeki
Nelayan membetulkan pukat
Dengan 15USD, kami melawat kesemua tempat yang telah disenaraikan dalam pakej. Antara tempat-tempat yang dilawati adalah Floating Garden, Floating Market (sedih kerana pada hari lawatan aku pasar tidak dibuka), Silk, Cotton & Lotus Hand Weaving, Cat Jumping Monastery, Boat Making, Silver & Gold Smith, Balck Smith, Long Neck Tribes House, etc
Floating garden - tanaman tomatoe atas air

Ketika di tempat pembuatan alat-alat besi seperti pisau, pedang, loceng, barang hiasan, dan banyak lagi
Batang pokok teratai. Getahnya diambil, dan dikumpulkan, kemudian dijadikan sebagai gumpalan benang, seterusnya menghasilkan kain
Me bergambar di Lotus & Silk Weaving
Pagoda di Inle Lake
Wanita menaiki sampan menjual bunga teratai kepada pengunjung
Me bersama Long Neck Tribe
Kucing comel sgt. Di Cat Jumping Monastery
Aku memakai barang perhiasan untuk sambutan tradisional di sini

Kehidupan atas air
Sepanjang perjalanan aku dihadiahkan dengan pemandangan yang cukup memukau. Air tasik semula jadi yang cukup jernih, langit terang kebiruan tanpa awan seluas-luasnya, kiri dan kanan dikelilingi pergunungan tanpa penghujung. Malah, udara di tasik yang membelai tubuhku cukup dingin sehinggakan aku terpaksa memeluk tubuhku sepanjang hampir 30 minit perjalanan. Matahari terik di atas kepala menghangatkan suasana. 
Aku dan rakan dari Korea memijak rumput yang hidup di atas air. Lama-kelamaan kami semakin tenggelam ke bawah

Pemandangan indah di Inle Lake

Terdetik di hati aku, bagaimana mereka dapat menikmati hidup dengan gembira dengan berbekalkan keperluan basic yang sederhana yang mereka miliki. Sedangkan kita yang hidup dengan serba ada, masih merungut pelbagai masalah. Terasa bersyukur apabila melihat kehidupan masyarakat di sini.

Perumahan di tepi tasik yang penuh kesederhanaan.
Kunjungan aku ke sini sememangnya dinantikan, dan peluang di depan mata digunakan sepenuhnya untuk menikmati keindahan alam semula jadi di sini. Tenang dan cukup mendamaikan. Tasik yang tidak bergelora, pemandangan seluas mata memandang seolah-olah tiada penghujung, burung-burung terbang di udara menggamit kesempurnaan.

Ketika menuju kembali ke Pekan Nyaung Shwe jam 4.00 petang kami menyaksikan ramai nelayan yang sedang mencari ikan. Apa yang popularnya di sini adalah cara mereka mendayung sampan. Nelayan di sini hanya menggunakan sebelah kaki sahaja untuk mendayung dan sebelah kaki lagi memijak sampan manakala tangan pula memegang pukat atau melemparkan jaring.

Nelayan yang posing maut semasa kami melintasi sampannya ketika sedang mencari ikan
Perasaan gemuruh tiba apabila pemandu bot aku menghentikan bot dan mengajak kami terjun ke dalam tasik. Mulanya aku agak was-was sebab airnya kelihatan dalam dan gelap namun setelah dia terjun dahulu aku mempunyai keyakinan untuk terjun sekali. Air tasik teramatlah sejuk dan sepanjang perjalanan pulang, aku menggigil kesejukan. 
Selepas berenang di air yang sangat sejuk

Tiba di hotel, aku terus ke bilik, mandi dan berselimut untuk panaskan badan.

Malam itu, aku makan malam seorang diri di sebuah restoren tidak jauh dari hotel. Berjalan kaki di tempat gelap sememangnya agak menakutkan namun apabila melihat ramai pelancong juga berjalan kaki, perasaan takut sedikit pudar.

1 comment:

  1. Terpesona dengan cara nelayan tu.. berjalan dgn kayu? smpan nipis seinci dri air? hohohooo...
    hebat lagi menyeramkan hahahaa.. :P

    ReplyDelete