Tuesday, 30 August 2011

Pendakian Solo Gunung Kinabalu 2010

 A throwback
Sudah lama berimpian untuk menakluki gunung tertinggi di Asia Tenggara kini telah menjadi sebuah kenyataan. Penantian selama beberapa tahun akhirnya bertukar realiti. Perasaan puas dan seronok yang tidak terhingga sukar diceritakan, namun sesiapa sahaja yang mejejakkan kaki di Puncak Kinabalu tahu apakah perasaan yang dirasakan. Apatah lagi setelah melaui saat-saat sukar mengumpul wang belanja dan bayaran pendakian untuk merealisasikan impian ini.
Seperti yang kita sedia maklum, Gunung Kinabalu adalah gunung yang prominen yang paling tinggi di Asia Tenggara yang mempunyai ketinggian 4095.2 meter dari paras laut. Gunung ini terletak di Kinabalu Park, iaitu sebuah taman tropika yang mempunyai khazanah alam yang sukar ditemui di tempat lain. Masih terpelihara flora dan faunanya, keindahan di situ sungguh tidak ternilai. Dengan kesejukan udaranya, ditambah dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan, pasti akan meninggalkan kenangan indah buat pengunjung yang datang.
Pada awal rancangan serius saya untuk mendaki gunung setahun yang lalu, ramai juga rakan yang berminat untuk mengikut saya. Namun, kebanyakannya mempunyai masalah kewangan dan mereka diam begitu sahaja. Saya juga mempunyai masalah yang sama, namun semangat saya cukup tinggi untuk menjejakkan kaki di puncak Kinabalu. Saya melakukan kerja sambilan kerana saya masih lagi menuntut ilmu. Kerana semangat berkobar-kobar, apabila mendapat gaji bulan September 2009, saya menempah tiket penerbangan pergi balik ke Sabah. Saya menempah pula pakej mendaki di Kinabalu Park yang diuruskan sepenuhnya oleh Sutera Santuary Lodges pada Januari 2010. Tempahan perlu dilakukan seawal enam bulan sebelum pendakian sekiranya kita mahu mendaki. Ini adalah kerana jumlah pendaki adalah terhad. Bayaran boleh dilakukan 50% seminggu selepas tempahan dan 50% lagi dua bulan sebelum mendaki.
12 Jun 2010
Oleh kerana saya menetap di Semporna, Sabah di kediaman sahabat saya, maka saya terpaksa mengambil bas dari Bandar Semporna ke Kinabalu Park. Jam seawal 730 pagi saya sudah bertolak dan tiba di Kinabalu Park pada pukul 330 petang. Perjalanan itu sungguh memenatkan. Kepala terasa pening kerana jalan raya yang berliku-liku seperti mahu ke Cameron Highland. Khidmat bas Dyana sungguh memuaskan hati. Air mineral, ubat mabuk, plastic, dan makanan ringan juga disediakan di dalam bas.



Tiba di Kinabalu Park, saya tercengang-cengang sendiri kerana pertama kali sampai di sini dan saya tidak mempunyai kawan dan juru pandu. Namun, taktala melihat bangunan di Kinabalu Park yang cantik itu, hati saya terasa berdebar-debar untuk melangkah. Pendakian hampir tiba! Itulah debarannya. Setelah saya check-in saya masuk ke bilik yang dikongsi dengan pendaki yang lain.

Saya amat bertuah kerana teman sebilik saya masih belum menempah jurupandu untuk mendaki. Memandangkan saya berseorangan, saya mengajak mereka berdua untuk berkongsi guide kerana lebih murah. Saya lebih bertuah lagi apabila rakan saya adalah orang tempatan dan mereka mempunyai kenderaan sendiri. Oleh itu, saya menumpang mereka dari hostel ke kaki gunung tanpa menggunakan khidmat pengangkutan Kinabalu Park.

Suhu pada waktu malam di Kinabalu Park sudah memberikan gambaran suhu sebenar di puncak nanti. Perasaan tidak sabar menguasai diri untuk mendaki pada keesokan harinya. Apabila bangun pagi, saya, Sherly dan Alex (teman sebilik) menjamu selera di Balsam Café. Ketika ini, kelihatan puncak gunung Kinabalu yang tersergam indah. Kami masing-masing tidak sabar untuk meneroka pendakian yang telah dirancang.
Pemandangan pada pukul 630 pagi di kaki gunung

13 Jun 2010

Setelah mendapatkan guide, kami bertolak ke Timpohon, iaitu tempat permulaan pendakian kami. Di Gunung Kinabalu, terdapat dua starting point yang berlainan, Timpohon dan Mesilau. Menurut bacaan di internet dan mendengar sendiri daripada mulut guide kami, Mesilau adalah lebih mencabar berbanding Timpohon. Malah pemandangannya lebih cantik dan jarak ke puncak adalah lebih 1km dari Timpohon. Namun bagi saya, mana-mana trail sekalipun, tetap mempunyai cabaran masing-masing. Trail Timpohon lebih mudah kerana sudah lebih 30 tahun ia dibuka untuk pendakian umum berbanding Mesilau yang hanya beberapa tahun dibuka.

Bergambar sebelum mendaki

Lebih kurang pukul 830 pagi kami memulakan pendakian kami. Sambil berborak antara kami, saya mengambil gambar alam sekeliling. Kaki sedikit penat. Maklum sajalah kurang latihan dan otot baru hendak panas dan adapt dengan pergerakan badan yang melawan gravity bumi. Kami berhenti rehat di pondok yang disediakan. Sepanjang perjalanan kami, sebanyak tujuh pondok yang akan dilalui sebelum kami tiba di tempat penginapan kami iaitu Laban Rata. Di setiap pondok, terdapat tandas, tempat rehat dan air. Kita boleh menggunakan air itu untuk minum dan berehat sebentar untuk mendapatkan tenaga semula.
Pondok pertama – Kandis

Kawasan Gunung Kinabalu sememangnya amat terpelihara dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan asli dan binatang yang begitu mesra dengan kehadiran manusia. Di setiap pondok yang disediakan, anda pasti terhibur dengan gelagat tupai liar yang datang untuk memakan makanan kita. Perasaan penat hilang apabila melihat tupai-tupai itu seolah-olah bermain tarik tali dengan kita.


Perjalanan semakin mencabar apabila pendakian semakin lama. Suhu semakin sejuk dan kaki mulai kekurangan tenaga. Namun, kami tidak berputus asa kerana ingin cepat sampai di puncak. Saya mengeluarkan makanan ringan yang dibawa untuk mengisi tenaga dan mengelak daripada terlalu memikirkan kepenatan yang dirasai. Teman saya mengalami kepenatan dan kami mengurangkan kelajuan pendakian kami.

Flora yang terdapat di Kinabalu

Bergambar dengan dua adik beradik yang baru turun dari puncak

Kami tiba di Laban Rata agak lewat. Lantas, kami pergi ke restoran untuk menjamu selera. Saya sungguh berselera dan makan dengan banyak sekali. Ramai pendaki yang sedang menjamu selera di situ. Suasana agak kecoh mungkin kerana masing-masing sedang bercerita tentang pengalaman masing-masing di sepanjang lebih separuh perjalanan ke puncak Kinabalu. Ramai juga pendaki lain bertegur sapa dengan saya bertanyakan adakah saya ok. Setelah kekenyangan, saya naik ke bilik, dan berehat. Jam telah menunjukkan pukul 630 petang, dan badan saya terasa sakit lebih-lebih lagi di bahagian paha. Sempat lagi saya menghubungi kawan-kawan saya di Semenanjung untuk memberitahu keadaan saya.

Pemandangan dari Restoren Laban Rata
14 Jun 2010
Saya bangun dari tidur pada jam 200 pagi kemudian saya supper di restoren. Setelah melakukan regangan badan, kami memulakan sisa pendakian untuk ke puncak. Suhu amat sejuk ketika itu. Setengah jam pendakian, saya mengalami sedikit kesesakan nafas. Badan berpeluh biarpun keadaan amat sejuk kerana saya memakai tiga lapis baju dan satu baju panas tebal. Kaki sangat lenguh dan saya seakan-akan tidak terdaya lagi untuk mendaki. Saya mula mengawal nafas saya dan berjalan perlahan-lahan serta tidak banyak berhenti di sepanjang perjalanan. Dengan itu, saya sudah tidak merasa penat lagi dan kaki semakin kuat. Apabila sudah kelihatan puncak gunung, perasaan saya berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki di sana.

Hampir di puncak

Saya tiba di puncak kira-kira jam 550 pagi. Saya amat seronok kerana penantian saya selama ini sudah tercapai. Suhu semakin sejuk. Akan tetapi, kegirangan mengatasi segalanya. Pendaki-pendaki lain sedang bergambar di papan tanda puncak. Saya menunggu giliran saya. Puncak Kinabalu yang agak sempit tidak boleh memuatkan ramai pendaki untuk bergambar kerana ia amat berbahaya. Terdapat dawai besi yang memagari puncak untuk mengelakkan pendaki terjatuh ke gaung yang amat tinggi dan curam.

Angin amat kuat di atas sana. Dengan memakai windbreaker, ia dapat mengurangkan pergeseran angin yang boleh membuatkan kita bertambah sejuk. Semasa saya membuka sarung tangan untuk menukar bateri kamera, tangan saya seperti beku kerana suhu amat sejuk. Pemandangan dari puncak amat cantik. Awan-awan yang berkepul meliputi bukit bukau memukau pemandangan. Kelihatan batu-batu pergunungan yang kukuh menjadi asas keteguhan puncak gunung. Dengan tiupan angin dingin kami sama-sama melihat keagungan ciptaan Tuhan apabila matahari terbit dari jauh. Masing-masing terpaku dengan keindahan tersebut dan tidak mahu melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan dalam album masing-masing. Jam menunjukkan lebih kurang jam 630 pagi dan langit sudah menjadi cerah.

Puncak Kinabalu


Setelah penat bergambar, kami memulakan langkah turun dari puncak. Kami tidak disarankan berada terlalu lama di atas puncak kerana kemungkinan untuk mengalami hypoterma yang boleh membuatkan kesejukan yang melampau. Pemandangan yang indah dapat dilihat dengan jelas berbanding semasa mendaki ke puncak yang amat gelap.


Puncak selatan






Setelah sarapan pagi di Laban Rata, kami mengemas untuk turun ke kaki gunung. Kaki terasa berat untuk kembali ke kaki gunung. Perasaan belum puas untuk mendaki lagi. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa teman yang dikenali di situ dan mula berjalan turun ke bawah. Ada juga pendaki yang berlari untuk lebih cepat tetapi ia tidak digalakkan kerana boleh membuatkan lutut dan tumit sakit. Kepada pendaki yang mempunyai kekuatan yang lebih, mereka lebih gemar untuk berlari. Sempat lagi saya mengambil gambar-gambar pemandangan yang terdapat di sekitar jalan. 





Saya mengambil sijil pendakian yang berwarna dan membayar RM10. Akhirnya, saya dapat merealisasikan impian saya untuk mendaki Gunung Kinabalu. Pendakian ini sungguh bermakna buat saya kerana banyak kenangan pahit manis sebelum, semasa dan selepas saya berusaha untuk berada di puncak Kinabalu. Barangkali, ramai yang memandang remeh dan menganggap adalah mudah untuk mendaki Kinabalu, tetapi, percayalah, setiap pendakian, pengalaman dan cabarannya amat berbeza. Kita tidak boleh berlagak pandai kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku semasa pendakian. Bayangkan seorang lelaki yang telah banyak mendaki juga tidak boleh sampai ke puncak, renungkan..Dan saya pasti, saya akan kembali ke sini lagi untuk pendakian yang kedua melalui Mesilau suatu hari nanti. 

-TAMAT-
Tips mendaki
·         Jalani latihan yang cukup seperti jogging supaya otot tidak terkejut dengan pendakian yang memerlukan banyak tenaga. Belajar untuk bernafas dengan perlahan dan kawal pernafasan.
·         Bawa makanan ringan seperti raisin, coklat, gula-gula, energy bar, dan kekacang
·         Bawa pakaian tebal, stoking, snow cap, seluar yang menyerap peluh dan tahan sejuk, sarung tangan cotton, beg mendaki yang selesa
·         Tempah pendakian enam bulan sebelum mendaki
·         Bawa wang yang lebih untuk sebarang keperluan
·         Tanam semangat yang tinggi dan tidak mudah mengalah.
·         Rancang perjalanan dengan teliti.